Isnin, 31 Disember 2012

Macam Dora....Ye kerrr?

Hujung minggu lalu, saya dan isteri ronda-ronda di shopping complex dengan misi mencari pakaian untuk anak-anak.

Sebab apa? Sebabnya, Humairah asyik cakap yang baju dia dah ketat dan tak muat. “Kakak takda baju dan seluar nak pakai.”  (Siap tunjuk baju-baju di dalam almari bajunya)

Bukan itu sahaja, Humairah turut nak beli kasut sebab  kasut pun dah ketat. “Kesian kakak, kaki sakit sebab kasut ketat.”  (Sambil membuka almari kasut di luar rumah dan membuat muka kesian meminta simpati saya dan ibunya)

Adiknya, Maisarah ‘cool’ seperti biasa. Tak minta apa-apa (ketika di rumah).

Di shopping complex, memang huru-hara dibuat dua heroin saya ini. Apa taknya, si kakak memegang bakul sendiri sambil si adik mengambil apa sahaja dan memasukkan ke dalam bakul.  Boleh londeh seluar si ayah kalau ikut semua kehendak dua-dua heroin itu.

Tidaklah lama sangat nak cari barang-barang anak-anak ni. Adalah dalam dua ke tiga jam aje (sambil  letak dua tangan di bahu, dan menjelir lidah). Humairah dan Maisarah gembira dapat beberapa helai baju, seluar, kasut seorang sepasang, 4 legging untuk kakak dan mereka juga dapat bonus.

Apa bonusnya???  Mereka dapat bermain di playground sambil ditemani ayah. Yahooooo!!! Seronok tak terkata. Tidaklah lama, sekadar 40 minit aje. Ingatkan anak-anak aje ada misi, rupa-rupanya, si isteri pun mempunyai misi yang tersembunyi.  Si isteri tiba di playground dengan muka yang tersenyum gembira. Di kedua-dua tangan ada memegang paper bag.  

“Beli apa tu,” tanya saya pada isteri.

“Adalah sikit-sikit,” jawab isteri.

( Rupa-rupanya si isteri juga sempat amik tidak banyak sekadar dua pasang kasut dan beberapa helai baju….ehem, ehem sambil buat jelingan tajam)
   
Saya ingatkan selepas itu kami semua boleh balik ke rumah sebab saya dah mula terbayang bantal empuk dan tilam di bilik saya. Maklumlah, cuti hujung minggu.

Tetapi, tiba-tiba Humairah pulak cakap dia nak gunting rambut bagi pendek. Saya tidak bersetuju kerana saya suka tengok dia berambut panjang.

Namun, si ibu pulak menyokong agar potong rambut bagi pendek sebab nak masuk tadika.  Jadi keputusannya bila 2 lawan 1 sudah tentu saya terpaksa ikut aje. 

Melihat rambut Humairah digunting, saya pun tertarik untuk memotong rambut.

“Abang, nak fesyen apa,” tanya Lim (tukang gunting, pemuda berusia 23 tahun)

 “Fesyen apa, potong aje la ikut apa yang awak rasa sesuai,” jawab saya.

Selama ini, saya hanya menggunting rambut di kedai mamak sebab murah dan dapat urut lagi selepas gunting.  Bunyi PRAPPPP  bila mamak pusing leher...memang best...Tapi kali ini, saya bertukar pulak ke hair salun. Manalah tahu pasal fesyen-fesyen ni.

Selesai gunting rambut. Maisarah cakap rambut ayah cantik, ayah hansem…macam Am (rujuk Aaron Aziz dalam cerita Adam dan Hawa)

Humairah pulak cakap, “Am dalam TV tu lagi hensem.” ( Hu hu hu) 

Humairah berjalan bangga keluar dari salun potongan rambut barunya. Dia kata macam Dora….Ye kerrr?  



Humairah (kanan) sebelum rambut digunting. 

Gaya potongan rambut baru Humairah...



Moral: Anak-anak dan ibu seronok keluar shopping dengan ayah. (Ayah terkebil-kebil di kaunter pembayaran) 




Sabtu, 29 Disember 2012

Mekah Kami Datang

Ini bukan entri sambungan filem Istanbul Aku Datang…..

Sekadar catatan yang dibuat ketika jiwa dan hati diusik saat di Tanah Suci...

Tinggal beberapa hari sahaja lagi tahun 2012 akan menutup kalendarnya. Pejam celik pejam celik dah nak masuk 2013. Lebih kurang 10 bulan yang lalu, saya, isteri, Hana' Humairah dan Hana' Maisarah berpeluang menjadi tetamu Allah SWT di Tanah Suci Mekah dan Madinah untuk menunaikan ibadat Umrah.

Alangkah manisnya pengalaman yang kami lalui di sana. Tiada tandingan. Memang sukar untuk digambarkan dengan kata-kata. Tanyalah pada sesiapa yang pernah ke sana, sama ada menunaikan ibadat Umrah atau Haji, pastinya mereka akan rasa rindu untuk pergi ke sana sekali lagi. Walaupun sudah 10 bulan berlalu, perasaan rindu itu masih menebal. Seolah ada magnet kuat yang menarik untuk ke sana.

Saya masih ingat lagi sewaktu saya dan isteri menyatakan hasrat untuk menunaikan umrah bersama  anak-anak. Ada yang mempersoalkan langkah kami untuk membawa anak-anak sekali ke sana, dikhuatiri akan menyukarkan kami untuk melakukan urusan ibadat ketika di sana. Tetapi sebaliknya pula yang berlaku. 

Terharu melihat anak-anak cukup bersemangat ketika diajar melakukan Miqat dan mengalunkan ‘Labbaikallah Hummalabbaik’ di atas kapal terbang.  Walaupun jam sudah menunjukkan pukul 1.30 pagi waktu di Mekah, kami semua terus melakukan ibadat Umrah pertama kami. Perjalanan kami cukup mudah sehinggakan tidak terasa air mata kami mengalir dengan apa yang diberikan Maha Esa.  Allah Maha Besar, sesungguhnya  tiada tempat untuk kami berlindung melainkan kepada Engkau.

Di dalam kapal terbang..niat di Miqat

Walaupun kepenatan kerana mengharungi  perjalanan panjang dari Malaysia ke Mekah sehinggalah ke hotel sebelum umrah pertama kami, kepenatan itu hilang sebaik sahaja kami selesai melakukan semua rukun umrah.

Alangkah bersyukurnya kami, kerana segala urusan kami di sana berjalan dengan lancar dan anak-anak cukup memahami walaupun pada ketika itu Humairah berusia  4 tahun dan Maisarah pula 2 tahun.  Boleh dikatakan hampir setiap waktu kami membawa anak-anak menunaikan solat fardu di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi kecuali solat Subuh yang mana anak-anak ditinggalkan bersama isteri di hotel.

Rutin setiap hari di Tanah Suci, sementara menunggu kepulangan saya dari solat Subuh, isteri menyiapkan anak-anak untuk bersarapan pagi sebelum kami bersama-sama menunaikan sunat Dhuha berdekatan Kaabah. Rezeki anak-anak kami berpeluang melihat Kaabah dengan mata mereka sendiri dan cukup dekat.  Impaknya cukup kuat sehinggakan hari ini.



Tiada kata-kata dapat menggambarkan perasaan ketika sujud dan menadah tangan berdoa di depan Kaabah. Cukup besar rahmatMu Ya Allah.  Betapa kerdilnya diri ini apabila perjalanan kami sekeluarga seolah ‘dilorongkan’ sehingga tiba-tiba berada betul-betul di depan Kaabah. Dapat menyentuh Kaabah, berdoa di Multazam dan mencium Hajar Aswad merupakan kenangan terindah dalam hidup kami. Semua ini berlaku pada 1 Mac 2012 yang bersamaan dengan hari lahir Humairah yang ke-4.  (Buat anakanda Humairah, ingat tarikh ini kerana ia mempunyai erti yang cukup besar buatmu dan kita sekeluarga)

Bagi Maisarah misalnya, dia kerap bertanya kepada saya dan isteri, “Bila nak gi Kah (Mekah), Adik nak ngok abah (Kaabah)? Adik pandai amik perkataan hujung sahaja…

Sejak pulang dari Tanah Suci, setiap kali ada orang bagi mereka duit, mereka akan menyuruh saya menyimpan duit itu sambil berpesan, “Ayah, nah simpan duit ni, nanti nak pergi Mekah,” kata Humairah.

Bagi kami, tarikh 26 Februari hingga 9 Mac 2012, merekod banyak memori indah seperti rindu bau Taman Raudhah ketika di Masjid Nabawi, sejuknya dataran Kaabah ketika sujud, laungan azan Masjil Haram, solat Jumaat, minum air zam zam di setiap  sudut masjid, keenakan nasi arab, ais krim 3 rial, jus fruit layer kegemaran isteri, susu unta segar, dicium unta, buah kurma segar, perkuburan para sahabat Rasullullah SAW dan pejuang Islam, Jabal Rahmah tempat pertemuan Adam dan Hawa, jubah-jubah cantik di Madinah,  kesungguhan peniaga Arab berpusu-pusu lari ke masjid untuk solat sebaik azan dilaungkan dan macam-macam lagi yang sukar saya terjemahkan dalam tulisan ini.

Indahnya malam, cahaya langit ketika Subuh, angin bertiup sehingga mencucuk liang roma pada waktu Subuh dan bacaan surah ketika solat oleh Imam membangkitkan adrenalin dalam tubuh ini.

Indahnya Masjidil Haram


Sejujurnya dan dengan rendah diri, saya dan isteri melahirkan rasa syukur dan menginsafi betapa sebagai hamba, betapa besarnya rahmat dan rezeki Allah SWT telah kurniakan kepada kami sekeluarga sebaik pulang dari Tanah Suci. Sama ada yang kami sedar atau tidak sedar dengan apa yang dikurniakanNYA.

Semasa tulisan blog ini dibuat, terasa ingin sekali lagi pergi ke Tanah Suci. Mudah-mudahan, saya, keluarga dan anda semua terpilih menjadi tetamu Allah SWT dan dimurahkan rezeki, dilapangkan waktu serta kesihatan  untuk menjejakkan kaki di sana.

Ya Allah, Engkau makbulkanlah doa hambaMU yang sangat merindui untuk bertemu denganMU dan KekasihMU , Nabi Muhammad SAW….AMIN….

Terima kasih Ya Allah…..

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud “ Suatu umrah kepada umrah yang lain adalah kafarah (menghapuskan segala dosa) di antara keduanya dan haji yang mabrur (diterima) itu tiada balasan baginya selain syurga.” – HR Bukhari


Di bawah, antara gambar kenangan....memang bessttt...






Kakak suka susu unta 

Anak2 terkejut tgk ayah botak...

Rai Hari Lahir ke-4 Humairah di Zam Zam Tower



menikmati ais krim 3 rial 



Saya dan Humairah di Madinah

Masjid Nabawi

Taman Syurga 

Ladang Kurma

Adik penat...


Khamis, 27 Disember 2012

Lisa cantik macam ibu

Filem Istanbul Aku Datang antara filem Melayu yang saya sifatkan antara wajib tonton bagi tahun 2012. Lakonan bersahaja Lisa Surihani dan Beto memang tidak mengecewakan dalam filem romantik komedi ini.  Betullah cakap seorang sahabat saya, pengarah yang bagus dapat melahirkan pelakon yang mampu menjiwai watak dengan baik.

Walaupun sudah menjadi isteri kepada Yusry KRU, Lisa tetap antara heroin favourite saya selain Siti Saleha dan Nadiya Nisaa.
   
Sebaik Istanbul Aku Datang ditayangkan di Astro First, saya terus mendapatkan DVD filem itu dan tentunya yang Original. Kata, support indutri filem tempatan.

Seperti biasa, lampu dipadamkan, bagi membangkitkan suasana dalam panggung wayang. Cewahhh….(layan DVD dalam bilik aje pun)

Saya, isteri, Humairah dan Maisarah mengambil tempat masing-masing. Sedang kami asyik menonton, si ibu turun ke bawah untuk membuat susu yang diminta Maisarah.
 
Humairah yang serius menonton seolah memahami cerita itu tiba-tiba mengeluarkan ayat yang bagi saya jika ibunya dengar pasti suka giler tahap gaban.
   
Humairah: Ayah, mana Lisa? (Sewaktu Lisa tiada dalam plot)

Ayah: Kenapa kakak tanya Lisa?

Humairah: Kakak suka tengok muka dia la.

Ayah: Kenapa kakak suka? (Ayah pun suka tengok Lisa jugak) he he he

Humairah: Lisa cantik macam ibu.

Ayah: Opppssss…(terbatuk-batuk, terkeluar sisa kacang yang sedang saya makan)  Dalam hati saya berkata, “Nasib baik isteri saya tidak dengar sendiri apa yang anak dia cakap, kalau tak kembang la dia,”.


*Harap-harap si isteri tidak membaca blog ini. (Jika baca, AWAS, pastikan dapat mengawal pengembangan lubang hidung anda)    



Betui ke, Lisa cantik macam ibu? 



Isnin, 24 Disember 2012

"Kenapa Mak Limah boleh terbang"


Entah untuk berapa kalinya, Humairah dan Maisarah nak tengok cerita Hantu Kak Limah Balik Rumah. Mereka memang tak serik-serik nak tengok cerita ini. kalo tak Kak Limah, mesti kena buka cerita Alamak Toyol.

Dan setiap kali mereka tengok cerita macam ini, sudah menjadi kewajipan si ayah untuk menjadi peneman mereka.  Dan setiap kali jugalah banyak soalan si ayah kena jawab. Soalan-soalan yang si ayah sendiri sukar untuk menjawabnya.

Misalnya- “Kenapa Mak Limah boleh terbang” dan Pasal apa toyol tu warna hijau dan pakai pampers?” Macam mana nak jawab tu, tak menggaru kepala si ayah nak jawab.

Humairah: Ayah, hari ini cuti ke school?

Maisarah: Ayah, adik nak tengok CD, sekali aje.

Ayah: Hari ini cuti. Boleh tengok CD. Kakak dan adik nak tengok cerita apa? Ayah pasang kartun Princess atau Dora ye.

Humairah: Tak naklah.

Maisarah: (geleng-geleng kepala)

Ayah: Habis tu, kakak dan adik nak tengok cerita apa ni?

Humairah: Nak tengok Hantu Kak Limah. Toyol pun boleh (Alamak Toyol). 

Maisarah: Adik nak tengok Mak Mah ( refer kepada Hantu Kak Limah Balik Rumah).

Ayah: Tak takut ke tengok cerita Hantu Kak Limah. Nanti tak boleh tido pulak.

Humairah: Mak Limah bukan hantu la. Mak Limah tu orang gila la.
   
Maisarah: Aaahh…Mak Mah bukan hantu la. Dia momok.

Ayah: Ok, ayah pasang Hantu Kak Limah ye…Tapi jangan takut-takut ok. Jangan jerit-jerit tau.

Humairah & Maisarah: Ok, ayah (jawab secara serentak)

(Ayah pergi pasang CD. Selepas pasang dan toleh ke belakang, Humairah dan Maisarah sudah masuk dalam selimut dan suruh ayah juga masuk ke dalamnya)

Moral: Ayah baring di tengah-tengah. Humairah dan Maisarah berada di celah ketiak ayah)



Enjit-enjit Semut Siapa Sakit naik atas..














Jumaat, 21 Disember 2012

Siti Nurhaliza datang konsert,kakak.


Hari ini, Humairah dan Maisarah ada konsert penutup musim cuti sekolah di Darul Fawwaz.  Mereka giat berlatih nasyid sejak dua minggu kebelakangan.

Humairah very excited dengan lagu baru Darul Fawwaz, manakala Maisarah hanya ikut sahaja kakaknya. Kadang-kala, aku hanya dengar ayat penghujung saja suara Maisarah.
   
Mereka berlatih tidak kira waktu. Siang atau malam.  Di mana sahaja, dalam kereta atau bilik tidur pun mereka nyanyi bersama.

Pagi itu, sedang mereka berdua mencari baju yang hendak dipakai, Humairah bertanyakan kepada sesuatu kepada Granny.

Humairah: Granny, tak nak ikut pergi konsert kakak ke?

Granny: Tak ikut kot. Granny ada banyak keje.

Humairah: Alah, ye ke. Best tau konsert, kakak.

Granny: Apa yang bestnya?

Humairah: Ada Siti Nurhaliza. Dia datang konsert kakak.

Granny: Betul ke?

Humairah: Iyaaaaaa….betul. Tak caya sudah. Ustazah yang cakap.  (Dengan nada bersungguh-sungguh, mata membulat)

Moral: Humairah dan Maisarah memang suka sangat dengan Siti Nurhaliza. Setiap kali lagu Muara Hati nyanyian Siti dan Hafiz ke udara, mereka akan ikut nyanyi bersama. Itu belum tengok cerita Adam dan Hawa lagi.
Bersama Siti pada 1 Syawal 2012. 
Inilah barisan kita......

Pose istimewa untuk konsert dari Humairah (kiri) dan Maisarah.

















Khamis, 20 Disember 2012

Hidung mestilah kena korek


Satu kisah pada satu malam, ayah memandu kereta sambil ditemani dua orang anaknya,  Humairah dan Maisarah. Kami dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menikmati Tutti Frutti. 

Sebelum tiba di rumah, dialog ini terbit secara spontan yang agak mencuit hati aku…
   
Ayah: Kakak, tangan untuk apa?

Humairah: Tangan untuk sentuh.

Ayah: Mata pulak untuk apa?

Humairah: Mata untuk tengok benda lah..

Ayah: Ok, mulut untuk apa pulak?

Humairah: Mulut mestilah untuk cakap dan makan.

Ayah: Telinga untuk apa?

Humairah: Untuk dengar.

Ayah: Kaki?

Humairah: Kaki untuk jalan.

Ayah: Hidung pulak untuk apa?

Humairah: ( Humairah diam seketika, mungkin berfikir kot) Lepas itu, dia jawab, hidung, mestilah kena korek.
  
Ayah: ???????
(Tiba-tiba kami ketawa bersama....Kah kah kah...Maisarah yang tidak tahu apa-apa pun turut ketawa sama)


Jumaat, 7 Disember 2012

Khamis, 6 Disember 2012

Kamu & Saya


Kamu dijaga saya
Kerana kamu
Percaya pada saya

Kamu berada di sini
Kepada saya kamu percaya  

Alif, Ba, Ta, Sa


Rutin dialog ayah dan anaknya bernama Hana’ Maisarah, 2 tahun, selama lima hari dalam seminggu setiap kali ayah tiba di rumah dari pejabat.

Maisarah atau adik kebiasaannya akan menjerit-jerit sebaik melihat ayah muncul di depan pintu rumah.  “Ayah, balik…ayah balik…ayah balik..,” jerit adik.

Adik akan memanggil ayah dengan suara manjanya sambil meminta dia didukung.

Isnin
Ayah: Maisarah, belajar apa dekat school hari ini?

Maisarah: Adik belajar Alif, Ba, Ta, Sa

Selasa
Ayah: Hari ini dekat school, adik belajar apa?

Maisarah: Alif, Ba, Ta, Sa

Rabu
Maisarah: Ayah, adik nak sugus. Satu untuk adik, dan beli untuk kawan-kawan.

Ayah: Ok.

Ayah: Adik, belajar apa hari ini?

Maisarah: Adik bagi kawan-kawan sugus. (Merujuk sugus yang dibelikan ayah di Stesen Petronas sewaktu hendak pergi school).

Adik belajar Alif, Ba, Ta, Sa, ….Ja..diulang-ulang beberapa kali sebelum bersambung pula dengan A, B, C, D…(sambil tangan adik mengira di jari)

Khamis
Maisarah: Ayah, bila cuti?

Ayah: School lagi dua hari, lepas tu cuti.

Maisarah: Ok.

Ayah: Buat apa kat school hari ini?

Maisarah: Alif, Ba, Ta, Sa, Ja, Ha, Ho…One, two, three, four..(naik tangga menuju bilik tidur sambil mulut pot pet pot pet)

Jumaat
Ayah: Hari ni last school, ok. Esok, Sabtu, cuti. Ayah bawa pergi swimming pool, ye.

Maisarah: Yeeeahhh….Satu aje lagi…(Sambil adik menunjukkan jari telunjuk macam simbol 1Malaysia pada ayah)

Ayah: Adik, belajar apa kat school hari ini?

Maisarah: Alif, Ba, Ta, Sa, Ja, Ha, Ho….A, B, C, D…


Selasa, 4 Disember 2012

Kata Boikot?


Sejak Palestin diserang hebat oleh tentera Israel, pelbagai reaksi dilakukan rakyat negara kita. Tidak ketinggalan, masyarakat seluruh dunia yang mengutuk tindakan tidak bertamadun itu. Sememangnya, kita semua cintakan keamanan yang anti keganasan serta peperangan. 

Demontrasi jalanan, protes di FB, Twitter antara mekanisma yang dipilih untuk menentang keras tindakan Israel itu. Ini termasuklah tindakan boikot.

Apa itu boikot?

Korang tahu apa itu boikot? Boikot atau pemulauan adalah tindakan untuk tidak menggunakan, membeli atau berurusan dengan seseorang atau suatu organisasi sebagai wujud protes atau sebagai suatu bentuk pemaksaan.

Perkataan boikot berasal dari serapan Bahasa Inggeris iaitu ‘boycott’. Tindakan boikot boleh dianggap sebagai satu tindakan yang popular tetapi bukan mudah untuk mempraktikkannya.

Jadi, apa makna boikot terhadap masyarakat kita sebenarnya?

Contoh 1

Sebaik keluar berita Palestin diserang tentera Israel dimainkan di media cetak dan elektronik, tiba-tiba sahaja kempen memboikot barangan Yahudi dilakukan atau berjalan. Di mana-mana sahaja, kedengaran ajakan untuk kita memboikot barangan jualan Yahudi, misalnya Starbucks Coffee, Coca-Cola dan McDonalds.

Tetapi, yang peliknya tentang masyarakat kita, khususnya umat Islam sendiri, sebelum peristiwa berdarah itu berlaku, tidak ada pula tindakan memboikot ini dilakukan. Kita lepak sahaja di Starbuck. Minum Coca-Cola dan makan juga di McD.

Seolah-seolah tindakan memboikot ini satu tindakan bermusim. Apabila serangan Israel sudah reda dan makin dilupakan, kempen boikot pun tidak kedengaran lagi. Perlahan-lahan, kita membeli atau menggunakan semula produk yang diboikot itu. Apa cerita semua ini?

Memang ia bukan satu tugas mudah untuk kita secara tiba-tiba memboikot barangan-barangan tertentu yang sudah menjadi darah daging kita selama ini. Ia ibarat candu yang mengakibatkan ketagihan. Seperti juga penghisap rokok yang ingin membuang tabiat merokok. Bukan mudah bukan? Tanyalah kepada mereka yang perokok tegar.

Tapi kita boleh mencuba sedikit demi sedikit. Tidak usahlah boikot terus kesemuanya tetapi belajar perlahan-lahan untuk mengurangkan penggunaan atau pembelian produk Yahudi.

Bagi saya sendiri yang kaki kopi. Memang Starbucks Coffee merupakan wujudnya kopi yang dihasilkan dari biji kopi terbaik di dunia. Saya sedang berusaha untuk mematikan nafsu kopi  apabila melewati cawangan-cawangan Starbucks di negara ini. sebagai langkah permulaan, saya membawa flask berisi air kopi jenama 434 hasil air tangan orang rumah saya ke pejabat bagi mengelakkan saya singgah di Starbuck. Amacam?  

Bagaimana pula hendak memboikot McD? Makanan ringan yang popular dan seolah sudah serasi di kalangan masyarakat kita. Memang sukar,tetapi kena berusaha perlahan-lahan untuk melakukannya. The most important thing, adalah action! Bukan sekadar bercakap sahaja.

Contoh 2

Penyokong kelab bola sepak Manchester United (MU) dan fans Liverpool saling anti sesama mereka. Dua kelab Inggeris ini memiliki tradisi kegemilangan yang dibanggakan penyokong masing-masing. MU dengan 19 kejuaraan EPL manakala Liverpool pula 18 kali bergelar juara. 

Setiap kali, dua kelab ini bertemu, pasti akan timbul kutuk-mengutuk di FB dan saling memboikot. Jika MU kalah, pasti teruk penyokongnya ‘dianjingkan’ penyokong Liverpool. Begitu juga sebaliknya.
Peliknya, walaupun boikot, kedua-dua penyokong masih tetap ambil kisah prestasi dan aktiviti jual beli pemain kedua-dua kelab ini. Siap bagi komen di ruang SMS atau FB tentang kelab lawan.

Kata boikot?   

Contoh 3
Sebelum ini, banyak kempen boikot media mainstream dilakukan. Misalnya, kempen ‘Kami Boikot Buletin Utama TV3’, ‘Kami Boikot Utusan Malaysia’ atau ‘Kami boikot TV3’.

Tetapi sedarkah anda yang melakukan boikot itu bahawa anda masih juga menonton rancangan lain di TV3 dan ada juga yang membaca artikel lain di dalam Utusan Malaysia. Misalnya, rancangan Anugerah Skrin, Juara Lagu dan Cerekarama masih juga dalam keluarga TV3.

Jika sudah boikot, buat apa hendak menonton lagi….

Contoh 4

Tindakan si suami yang memulaukan si isteri akibat salah faham tentang hal-hal tertentu. Misalnya, dengan memulaukan isteri dengan cara tidak mahu bercakap dengan isteri, tidak tidur sekatil dan enggan makan masakan isteri. 

Tetapi, berapa lama seorang suami itu mampu bertahan tanpa si isteri di sisinya? Kaum lelaki, sila jawab pertanyaan ini. Memang sudah fitrah dijadikan lelaki itu untuk berpasangan dengan wanita dan wanita dijadikan untuk lelaki. 

Si suami pasti cair dengan belaian manja dan pujuk rayu si isteri. Apa lagi jika, 'takungan' air pada tahap melebihi kepala yang mana tidak bersama untuk satu tempoh tertentu, boleh jadi tak tentu arah si suami. Ibarat harimau menerkam mangsanya bila ada peluang. Kepada si suami, jika boikot, kenapa jika diberi, anda mahu!

Kesimpulannya, apa makna boikot pada masyarakat kita, sebenarnya? Hati manusia ibarat air laut, ada pasang ada surut, bergelora bila ribut, tenang bila tidak serabut…

So, fikirlah sendiri tentang tindakan boikot yang dilakukan. 

Antara tindakan boikot yang terpahat dalam sejarah adalah dalam sejarah India. Mahatma Gandhi adalah antara yang terkenal pernah melancarkan boikot barangan Inggeris untuk menuntut kemerdekaan tanahairnya. Pengaruh boikot ini sangat besar dalam membebaskan India dari kekuasaan penjajah ketika itu.