Isnin, 22 Oktober 2012

Air Mata



“Awak ni suka syahdulah. Sikit-sikit nak menangis,” ajuk isteri saya kepada saya setiap kali mata saya mula berkaca. 

Jawapan saya kepada isteri. “ Nak buat macam mana, dia nak keluar. Bukan saya buat main-main. Tak boleh tahan.” 

Dialog itu sering berlaku apabila isteri menyakat saya tatkala air mata saya bergelinangan atau dengan kata mudah lagi, menangis. Isteri juga kerap mengejek yang saya ini, dalam hati ada tamanlah, banjir air matalah dan macam-macam lagi yang berkait dengan air mata. 

Tetapi saya rasa, untuk lebih molek dan sedap didengar bagi lelaki sejati seperti saya, istilah menangis itu kuranglah sesuai sebaliknya perasaan atau jiwa saya mudah tersentuh atau pun mata berkaca. (ayat poyo untuk mengawal ‘kemachoan’ diri) 

Adakah lelaki seperti saya atau di luar sana yang berstatus sebagai suami dan ayah tidak boleh mengeluarkan air mata? Atau adakah memang lelaki tidak boleh mengalirkan air mata kerana dikhuatiri tidak macho dan maskulin di khayalak isteri atau wanita? 

 Bagi saya, bukan satu tugas mudah untuk mengeluarkan air mata dengan sengaja tanpa sebarang alasan yang munasabah. Orang menangis bersebab antaranya menerima khabar sedih tentang kematian, kemalangan atau boleh jadi khabar yang gembira, misalnya menerima cahaya mata, kenaikan pangkat atau menang cabutan bertuah berupa kereta mewah. Semua ini berkait rapat dengan mainan emosi kita. 

Air mata saya juga bukanlah terlalu ‘murah’ harganya. Ia keluar dengan sebab tertentu sahaja. Saya bukanlah pelakon hebat seperti hero Bollywood, Shah Rukh Khan,  Aaron Aziz, Rosyam Nor,  Eman Manan atau Nasir Bilal Khan yang berupaya melakukan babak air mata dengan baik kerana mereka dibayar untuk melakukan babak tersebut. 

Wahai lelaki, adakah anda tidak pernah menangis atau mengalirkan air mata sepanjang hidup anda? Misalnya ketika menerima kehadiran cahaya mata? Atau, adakah filem Hindustan berjudul Kuch Kuch Hota Hai atau Kabhi Kushi Kabhi Gham tidak langsung mengusik perasaan anda? Atau filem Melayu seperti Sembilu, Pasrah atau Lagenda Budak Setan tidak mencuit ego anda? Jika tidak, tahniah kepada teman wanita atau isteri anda kerana memiliki pasangan yang memang hati batu atau tiada perasaan. 

Sekuat atau segagah mana seorang lelaki itu pun tidak kira dia berstatus Mr Universe seperti Sazali Samad sekalipun, pasti pernah mengalirkan air mata atau menangis. 

Malah pemain sensasi badminton negara, Datuk Lee Chong Wei juga dilihat menangis selepas tewas ‘rubber set’ di tangan musuh ketatnya, Lin Dan dalam aksi final perebutan pingat emas Sukan Olimpik London 2012.  Dia menangis kerana sedih di atas kegagalannya menyumbang emas sulung negara di temasya itu. 

Saya tak ingat berapa kali air mata saya mengalir dalam hidup saya selama 31 tahun ini. Tidaklah perlu diceritakan sewaktu zaman bayi atau kanak-kanak dulu. Tentulah banyak kali kita menangis. 

Tetapi, seingat saya dan juga sekadar untuk berkongsi, air mata saya berguguran sewaktu melihat jenazah arwah tuk (Hajah Hasnu) dan ayah mertua (Zainal Hashim). Tubuh yang keras terbujur dibaluti kain kapan putih membuatkan hati sayu.  Saya memang tidak dapat menahan sebak dan air mata dari mengalir. Semoga arwah ditempatkan di kalangan orang beriman. 

Kasih sayang antara saya dan Tuk Leha serta Wan Sobri memang utuh.  Setiap kali saya pulang ke kampung di Taiping, Perak untuk melawat mereka, setiap kali itu jugalah saya menitiskan air mata. Pelukan dan kucupan ke dahi kedua-dua insan ini cukup menebal dalam diri saya. Isteri memang tidak melepaskan peluang untuk menyakat saya sebaik di dalam kereta dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur. Misalnya dengan memberi kotak tisu kepada saya. Dia memang sudah bersedia dengan apa yang akan berlaku seterusnya. Jadi dibekalkan saya dengan tisu. 

Saya masih ingat lagi pada 9 Jun 2006, (harap saya tidak silap tarikh perkahwinan kami) sebaik sahaja sah menjadi suami kepada isteri saya dengan sekali lafaz, air mata saya mengalir sekali lagi. Sumpah, air mata saya menitis dan rahsia ini masih saya simpan dari pengetahuan isteri sehingga tulisan ini dibuat. Apa tidaknya, hampir tujuh tahun kami berkawan dan bercinta, akhirnya pada detik bersejarah itu kami disatukan. Tetapi itu tangisan gembira kerana pada malam itu, adalah malam pertama pasangan orang baru berkahwin. Al-maklumlah….Hanya orang yang dah berkahwin akan faham apa yang saya maksudkan ini. 

Selang dua tahun selepas itu, pada 1 Mac 2008, isteri selamat melahirkan anak sulung kami yang diberi nama Hana’ Humairah. Keadaan panik di dalam bilik persalinan apabila anak di dalam kandungan isteri tiba-tiba hampir lemas. Saya bersama kakak nurse bersama-sama menolak katil isteri bergegas ke bilik pembedahan kerana isteri terpaksa dibedah untuk menyelamatkan kandungan itu. 

Saya tidak dapat melihat bagaimana anak dan isteri diselamatkan kerana sebelum itu saya berjanji dengan isteri yang saya akan menemaninya sewaktu melahirkan anak kami.  Masih segar diingatan saya, ketika isteri di dalam bilik pembedahan, saya terus ke surau di hospital tersebut untuk membuat solat sunat hajat. Air mata saya mengalir,  sewaktu sujud dan berdoa mengharapkan pertolongan Yang Maha Esa. Syukur, isteri dan Humairah selamat. 

Sekali lagi saya percaya, air mata itu tidak boleh dipaksa-paksa untuk keluar. Ia akan keluar apabila ada sesuatu yang menyentuh atau mencuit jiwa dan perasaan kita. Pengalaman melihat sendiri anak kedua kami, Hana’ Maisarah dilahirkan pada 13 Mac 2010 turut menyebabkan air mata saya berguguran. Betapa besarnya pengorbanan ditanggung isteri yang terpaksa bergelut dengan nyawa sendiri bagi melahirkan zuriat kedua kami. 

Situasi itu menyebabkan saya bertanya pada diri sendiri, bagaimanakah keadaannya mak saya sewaktu melahirkan saya 31 tahun yang lalu? Pasti lebih sukar berbanding masa kini dengan teknologi yang lebih canggih. Terima kasih mak kerana melahirkan saya. 

Februari 2012 terpahat antara saat paling indah yang tidak mungkin dapat saya lupakan dalam hidup. Saya bertuah kerana berpeluang membawa isteri dan anak-anak ke Tanah Suci menunaikan ibadat umrah.  Jika sebelum ini, saya hanya mendengar cerita pengalaman jemaah yang pulang dari sana, tetapi kali ini kami merasai sendiri pengalaman itu. Saat itu, diri ini dirasakan amat kerdil dan daif sewaktu di berada di depan Kaabah. Menggeletar 10 jari-jemari ini ketika menadah tangan berdoa dan bersujud di depan Kaabah memohon dibersihkan dosa yang banyak dilakukan.  Betapa besarnya kebesaran-NYA. Menangis apatah lagi. Orang yang jiwanya sekebal Tembok Besar China juga pasti menangis di sana. 

Sejujurnya saya berusaha untuk mengawal air mata dari mengalir dan mengelakkan perasaan dari mudah tersentuh.  Memang saya cuba menjadi lebih ‘cool’ dan buat selamba. Tetapi apa akan daya,  ia di luar kawalan saya. Baru-baru ini, tanggal 18 Oktober 2012, di KLIA, sewaktu menghantar mak dan ayah yang berangkat ke Tanah Suci untuk menunaikan ibadat Haji buat kali kedua, saya menitiskan air mata sekali lagi. 

Sewaktu saya memeluk ayah dan mengucup dahinya, air mata mula mengalir. Ia mengalir lebih laju sebaik saya di dalam pelukan mak. Saya mengucup dahi dan mencium kaki mak. Ya, kan syurgakan di bawah kaki ibu. Memang sudah menjadi kebiasaan saya bersalaman dengan mak dan ayah setiap pagi sebelum ke pejabat, memandangkan saya dan isteri tinggal bersama mereka. 

Tetapi pada hari itu, perasaannya cukup berlainan sekali. Sebaik mak dan ayah masuk ke dalam kapal terbang, saya terus berlari anak menyorokkan diri di dalam tandas untuk melepaskan titisan air mata saya itu tanpa mempedulikan ‘pelawat’ tandas yang lain yang memerhatikan saya. 

Sebaik reda dan membasuh muka untuk ‘cover line’, saya keluar dari tandas dengan lagak bersahaja. Rupa-rupanya, saya tidak keseorangan kerana Humairah pun menangis juga. Dia melihat di sebalik cermin yang membolehkan dia nampak kapal terbang dinaiki wan dan granny (panggilan Humairah kepada neneknya) sebelum berlepas. Setelah dipujuk dengan membeli cokelat, barulah Humairah setuju untuk pulang. Jika tidak, tidak tahulah saya berapa lama dia nak berada di lapangan terbang menunggu kepulangan wan dan granny.

Entah berapa banyak kali lagi air mata ini akan menitis, tidaklah saya tahu. Saya tidak berani berjanji,  kerana apabila ia datang, ia pasti tiba dan sukar untuk menahannya. 

Bagi saya, air mata yang ikhlas dari dalam diri adalah lebih baik daripada air mata olok-olok yang dibuat si pencuri atau si penipu yang enggan insaf dan bertaubat atas kejahatan dilakukan mereka. Jadi, salah atau ‘lembik’kah saya kerana menitiskan air mata?

Tiada ulasan: