Isnin, 12 November 2012

Nak lumba motor, nak jadi macam Zulfahmi

Usia perkahwinan saya dan isteri baru sahaja mencecah enam tahun pada 9 Jun lalu. Boleh diibaratkan kami ini masih lagi dalam proses membina keluarga. Alhamdulillah, setakat tulisan ini ditulis, kami dikurniakan dua orang anak perempuan bernama Hana’ Humairah berusia empat tahun dan si adik, Hana’ Maisarah pula dua tahun.

 Setakat ini Maisarah masih lagi dipanggil adik tetapi pada masa akan datang belum tentu lagi.  Memang, saya dan isteri merancang untuk menambah bilangan ahli keluarga kami. Ye lah, lagi ramai lagilah meriahnya.  Mudah-mudahan, dimakbulkan usaha kami. Usaha tangga kejayaan!!!

Isteri memang teruja untuk menambah anak tetapi jelingannya seperti mahu menerkam saya bila saya mengusik dia dengan gurauan sebegini.

“Nak tambah anak aje ke, tambah cawangan tak boleh ke,?  Kaum lelaki ni memang gemar sungguh mengusik isteri mereka dengan gurauan sebegitu , manalah tahu kot-kot si isteri setuju. Pasti si suami gembira sambil melompat-lompat keriangan. 
  
Bukanlah tulisan ini untuk bercerita mengenai hajat saya dan isteri untuk menambah ahli keluarga atau pun jauh sekali hasrat saya untuk meluaskan cawangan sedia ada.  Tetapi sekadar berkongsi perihal cita-cita dan anak-anak, itu sahaja.

Di sekolah rendah dulu, kita akan diberi buku berwarna biru atau coklat di mana kita ditanya apakah cita-cita kita apabila dewasa nanti. Lazimnya, jawapannya yang paling popular ketika itu pastinya ingin menjadi anggota polis, bomba, askar dan cikgu. Sama ada jawapan itu dijawab sendiri oleh tuan punya badan atau pun mak dan ayah mereka, saya sendiri tidak pasti.

Yang paling mencuit hati,  ada pula pelajar yang meniru jawapan rakannya yang lain. Jadi semua jawapan diberi sama. Ramailah yang ingin menjadi anggota polis, bomba, askar ataupun cikgu.   
Tetapi kini saya percaya jawapan sebegitu sukar lagi untuk ditemui di dalam buku sekolah anak-anak. Sekarang, antara kerjaya yang mungkin menjadi sebutan dan glamor adalah ingin menjadi juruterbang, jurutera, atlet sukan atau artis.

Ramai ibubapa kini sanggup membuat pelaburan bagi memastikan anak-anak mereka mendapat kehidupan yang lebih terjamin dan sumber pendapatan yang lumayan. Ada yang ingin melihat anak mereka menjadi seperti Datuk Lee Chong Wei, Datuk Nicol David atau angkasawan negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar.

Saya juga percaya ibubapa kini, pasti bangga jika anak mereka mampu menjadi seperti penyerang sensasi negara, Safee Sali yang meraih pendapatan jutaaan ringgit hasil kepakarannya bermain bola sepak. Tidak lupa Khairul Fahmi Che Mat a.k.a Apek, saudara kembar Aidil, yang bukan sahaja memperolehi gaji dari bermain bola sepak tetapi turut meraih pendapatan hasil dari penajaan dan menjadi duta produk tertentu. Alahai,untunglah badan.

Tidak ketinggalan, ada di antara remaja kini yang ingin menjadi seperti Datuk Siti Nurhaliza, KRU atau Ustaz Don. Saya percaya,  mesti ada juga yang ingin menjadi seperti Aaron Aziz dan Nadiya Nisa di mana demam terhadap drama bersiri adaptasi novel, Adam dan Hawa yang rancak ditayangkan di Astro sekarang ini.  Watak Am dan Ain yang dimainkan Aaron dan Nadiya nyata memberi impak tersendiri sehinggakan dua orang anak saya juga terjerit-jerit bila drama ini ditayangkan. Malah, mereka berdua juga suka menyanyikan lagu tema drama tersebut, Muara Hati.

Tetapi, anda sebagai ibubapa di luar sana, jangan terkejut jika ada di antara anak-anak anda yang ingin menjadi pelumba motosikal apabila mereka dewasa nanti. Dapatkah anda bayangkan jika anda anda berkata sebegini.

“Ayah, adik nak motosikal. Nak lumba motor, nak jadi macam Zulfahmi.” (Zulfahmi merujuk pada pelumba motosikal negara, Zulfahmi Khairuddin yang mencipta sejarah muncul pelumba pertama negara meraih kedudukan podium dalam saingan Moto3.

Zulfahmi hebat...dari poketbike ke Moto3...


Ya, Zulfahmi berjaya mencipta kedudukan kedua dan ketiga masing-masing pada saingan MotoGP Malaysia Oktober lalu dan di Valencia, 11 November lalu. Saya percaya kejayaan pemuda dari Banting ini berjaya membuktikan bahawa sukan bermotor juga boleh menyumbang kepada kejayaan karier di samping melonjakkan nama negara di pentas dunia. Buktinya, Zulfahmi sudah melakukannya.

Kejayaan Zulfahmi ini boleh memberi mesej kepada pada Mat-mat Rempit di luar sana, bahawa mereka juga boleh bergelar pelumba profesional MotoGP sekiranya berlumba di platform yang betul dan bukannya menunjukkan kehebatan anda hanya di jalan raya secara haram dan menjejaskan keselamatan diri sendiri dan orang lain.

Jika anda benar-benar terer, manfaatkan litar sebenar yang disediakan Kerajaan dan berlumbalah sepuas hati anda.

Disebabkan Zulfahmi jugalah, Maisarah suka sangat dengan motosikal. Setiap kali ternampak motosikal sewaktu kami bersama-sama di dalam kereta, dia akan sebut, ‘moto-moto’ berulang kali. Tidak kira motosikal berkuasa besar atau kecil, nampak aje motosikal, Maisarah akan cakap, “Adik nak moto. Nak warna hijau,” ketawa saya melihat gelagat Maisarah.

Memang saya sudah belikan Maisarah sebuah skuter elektrik. Dia akan membawa beg sekolah dan patung arnabnya di atas skuter itu. Jika anak buah saya, Amir Irfan ada, mereka berdua akan ‘ronda-ronda’ dari ruang tamu hingga ke dapur bersama skuter tersebut. Itu belum lagi, Humairah naik sekali dengan mereka. Seolah, saya tengah menonton persembahan Tatu Polis pulak apabila tiga orang naik atas skuter sambil tangan dilepaskan.

Maisarah bersama skuternya. Amacam ada gaya tak?  


20 tahun akan datang, saya akan berusia 50 tahun.  Humairah dan Maisarah pula akan berusia 24 dan 22 tahun. Pada waktu itu, saya tidak pasti, apakah pekerjaan yang akan ada di muka bumi ini dan kita sendiri tidak tahu apakah pekerjaan yang sesuai untuk anak-anak kita.

Seingat saya, mak dan ayah tidak pernah memaksa saya untuk menjadi sesiapa kerana mereka memberi saya kebebasan dan sokongan yang tidak ternilai dalam setiap perkara yang saya lakukan dari kecil sehinggalah sekarang.

Justeru,  saya dan isteri juga akan berusaha sebaik mungkin untuk memberi sokongan yang sama nilainya kepada anak-anak kami agar mereka dapat menikmati proses kehidupan yang wajar mereka lalui. Mereka  berhak merasai pengalaman hidup mereka sendiri. Kita sebagai ibubapa perlu berdoa dan memantau perkembangan mereka dan bukannya dengan menentukan kehidupan mereka. Memang setiap antara kita mahukan yang terbaik buat anak-anak, tetapi apakah definisi terbaik itu terletak pada siapa mereka bila memasuki alam pekerjaan nanti?

Apa yang paling utama, dalam setiap apa dilakukan, mesti bersungguh-sungguh dan ikhlas!!!
   

Tiada ulasan: