Ini bukan entri sambungan filem
Istanbul Aku Datang…..
Sekadar catatan yang dibuat ketika jiwa dan hati diusik saat di Tanah Suci...
Tinggal beberapa hari sahaja lagi
tahun 2012 akan menutup kalendarnya. Pejam celik pejam celik dah nak masuk
2013. Lebih kurang 10 bulan yang lalu, saya, isteri, Hana' Humairah dan Hana' Maisarah berpeluang
menjadi tetamu Allah SWT di Tanah Suci Mekah dan Madinah untuk menunaikan
ibadat Umrah.
Alangkah manisnya pengalaman yang
kami lalui di sana. Tiada tandingan. Memang sukar untuk digambarkan dengan kata-kata. Tanyalah pada sesiapa yang pernah ke sana, sama ada menunaikan ibadat Umrah atau Haji, pastinya mereka akan rasa rindu
untuk pergi ke sana sekali lagi. Walaupun sudah 10 bulan berlalu, perasaan
rindu itu masih menebal. Seolah ada magnet kuat yang menarik untuk ke sana.
Saya masih ingat lagi sewaktu
saya dan isteri menyatakan hasrat untuk menunaikan umrah bersama anak-anak. Ada yang mempersoalkan langkah
kami untuk membawa anak-anak sekali ke sana, dikhuatiri akan menyukarkan kami
untuk melakukan urusan ibadat ketika di sana. Tetapi sebaliknya pula yang berlaku.
Terharu melihat anak-anak cukup
bersemangat ketika diajar melakukan Miqat dan mengalunkan ‘Labbaikallah
Hummalabbaik’ di atas kapal terbang.
Walaupun jam sudah menunjukkan pukul 1.30 pagi waktu di Mekah, kami
semua terus melakukan ibadat Umrah pertama kami. Perjalanan kami cukup mudah
sehinggakan tidak terasa air mata kami mengalir dengan apa yang diberikan Maha
Esa. Allah Maha Besar, sesungguhnya tiada tempat untuk kami berlindung melainkan
kepada Engkau.
|
Di dalam kapal terbang..niat di Miqat |
Walaupun kepenatan kerana
mengharungi perjalanan panjang dari
Malaysia ke Mekah sehinggalah ke hotel sebelum umrah pertama kami, kepenatan
itu hilang sebaik sahaja kami selesai melakukan semua rukun umrah.
Alangkah bersyukurnya kami,
kerana segala urusan kami di sana berjalan dengan lancar dan anak-anak cukup
memahami walaupun pada ketika itu Humairah berusia 4 tahun dan Maisarah pula 2 tahun. Boleh dikatakan hampir setiap waktu kami
membawa anak-anak menunaikan solat fardu di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi kecuali solat Subuh
yang mana anak-anak ditinggalkan bersama isteri di hotel.
Rutin setiap hari di Tanah Suci,
sementara menunggu kepulangan saya dari solat Subuh, isteri menyiapkan
anak-anak untuk bersarapan pagi sebelum kami bersama-sama menunaikan sunat
Dhuha berdekatan Kaabah. Rezeki anak-anak kami berpeluang melihat Kaabah dengan
mata mereka sendiri dan cukup dekat. Impaknya cukup kuat sehinggakan hari ini.
Tiada kata-kata dapat
menggambarkan perasaan ketika sujud dan menadah tangan berdoa di depan Kaabah.
Cukup besar rahmatMu Ya Allah. Betapa
kerdilnya diri ini apabila perjalanan kami sekeluarga seolah ‘dilorongkan’
sehingga tiba-tiba berada betul-betul di depan Kaabah. Dapat menyentuh Kaabah,
berdoa di Multazam dan mencium Hajar Aswad merupakan kenangan terindah dalam
hidup kami. Semua ini berlaku pada 1 Mac 2012 yang bersamaan dengan hari lahir
Humairah yang ke-4. (Buat anakanda Humairah, ingat tarikh ini
kerana ia mempunyai erti yang cukup besar buatmu dan kita sekeluarga)
Bagi Maisarah misalnya, dia kerap
bertanya kepada saya dan isteri, “Bila nak gi Kah (Mekah), Adik nak ngok abah
(Kaabah)? Adik pandai amik perkataan
hujung sahaja…
Sejak pulang dari Tanah Suci,
setiap kali ada orang bagi mereka duit, mereka akan menyuruh saya menyimpan
duit itu sambil berpesan, “Ayah, nah simpan duit ni, nanti nak pergi Mekah,”
kata Humairah.
Bagi kami, tarikh 26 Februari
hingga 9 Mac 2012, merekod banyak memori indah seperti rindu bau Taman Raudhah
ketika di Masjid Nabawi, sejuknya dataran Kaabah ketika sujud, laungan azan
Masjil Haram, solat Jumaat, minum air zam zam di setiap sudut masjid, keenakan nasi arab, ais krim 3
rial, jus fruit layer kegemaran isteri, susu unta segar, dicium unta, buah
kurma segar, perkuburan para sahabat Rasullullah SAW dan pejuang Islam, Jabal
Rahmah tempat pertemuan Adam dan Hawa, jubah-jubah cantik di Madinah, kesungguhan peniaga Arab berpusu-pusu lari ke
masjid untuk solat sebaik azan dilaungkan dan macam-macam lagi yang sukar saya
terjemahkan dalam tulisan ini.
Indahnya malam, cahaya langit
ketika Subuh, angin bertiup sehingga mencucuk liang roma pada waktu Subuh dan
bacaan surah ketika solat oleh Imam membangkitkan adrenalin dalam tubuh ini.
|
Indahnya Masjidil Haram |
Sejujurnya dan dengan rendah
diri, saya dan isteri melahirkan rasa syukur dan menginsafi betapa sebagai
hamba, betapa besarnya rahmat dan rezeki Allah SWT telah kurniakan kepada kami
sekeluarga sebaik pulang dari Tanah Suci. Sama ada yang kami sedar atau tidak
sedar dengan apa yang dikurniakanNYA.
Semasa tulisan blog ini dibuat,
terasa ingin sekali lagi pergi ke Tanah Suci. Mudah-mudahan, saya, keluarga dan
anda semua terpilih menjadi tetamu Allah SWT dan dimurahkan rezeki, dilapangkan
waktu serta kesihatan untuk menjejakkan
kaki di sana.
Ya Allah, Engkau makbulkanlah doa
hambaMU yang sangat merindui untuk bertemu denganMU dan KekasihMU , Nabi
Muhammad SAW….AMIN….
Terima kasih Ya Allah…..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan