Setakat ini Maisarah masih lagi dipanggil adik
tetapi pada masa akan datang belum tentu lagi.
Memang, saya dan isteri merancang untuk menambah bilangan ahli keluarga
kami. Ye lah, lagi ramai lagilah meriahnya. Mudah-mudahan, dimakbulkan usaha kami. Usaha
tangga kejayaan!!!
Isteri memang teruja untuk
menambah anak tetapi jelingannya seperti mahu menerkam saya bila saya mengusik
dia dengan gurauan sebegini.
“Nak tambah anak aje ke, tambah
cawangan tak boleh ke,? Kaum lelaki ni
memang gemar sungguh mengusik isteri mereka dengan gurauan sebegitu , manalah
tahu kot-kot si isteri setuju. Pasti si suami gembira sambil melompat-lompat
keriangan.
Bukanlah tulisan ini untuk
bercerita mengenai hajat saya dan isteri untuk menambah ahli keluarga atau pun
jauh sekali hasrat saya untuk meluaskan cawangan sedia ada. Tetapi sekadar berkongsi perihal cita-cita dan
anak-anak, itu sahaja.
Di sekolah rendah dulu, kita akan
diberi buku berwarna biru atau coklat di mana kita ditanya apakah cita-cita
kita apabila dewasa nanti. Lazimnya, jawapannya yang paling popular ketika itu
pastinya ingin menjadi anggota polis, bomba, askar dan cikgu. Sama ada jawapan
itu dijawab sendiri oleh tuan punya badan atau pun mak dan ayah mereka, saya sendiri
tidak pasti.
Yang paling mencuit hati, ada pula pelajar yang meniru jawapan rakannya
yang lain. Jadi semua jawapan diberi sama. Ramailah yang ingin menjadi anggota
polis, bomba, askar ataupun cikgu.
Tetapi kini saya percaya jawapan
sebegitu sukar lagi untuk ditemui di dalam buku sekolah anak-anak. Sekarang,
antara kerjaya yang mungkin menjadi sebutan dan glamor adalah ingin menjadi
juruterbang, jurutera, atlet sukan atau artis.
Ramai ibubapa kini sanggup
membuat pelaburan bagi memastikan anak-anak mereka mendapat kehidupan yang
lebih terjamin dan sumber pendapatan yang lumayan. Ada yang ingin melihat anak
mereka menjadi seperti Datuk Lee Chong Wei, Datuk Nicol David atau angkasawan
negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar.
Saya juga percaya ibubapa kini,
pasti bangga jika anak mereka mampu menjadi seperti penyerang sensasi negara,
Safee Sali yang meraih pendapatan jutaaan ringgit hasil kepakarannya bermain
bola sepak. Tidak lupa Khairul Fahmi Che Mat a.k.a Apek, saudara kembar Aidil,
yang bukan sahaja memperolehi gaji dari bermain bola sepak tetapi turut meraih
pendapatan hasil dari penajaan dan menjadi duta produk tertentu.
Alahai,untunglah badan.
Tidak ketinggalan, ada di antara
remaja kini yang ingin menjadi seperti Datuk Siti Nurhaliza, KRU atau Ustaz
Don. Saya percaya, mesti ada juga yang
ingin menjadi seperti Aaron Aziz dan Nadiya Nisa di mana demam terhadap drama
bersiri adaptasi novel, Adam dan Hawa yang rancak ditayangkan di Astro sekarang
ini. Watak Am dan Ain yang dimainkan
Aaron dan Nadiya nyata memberi impak tersendiri sehinggakan dua orang anak saya
juga terjerit-jerit bila drama ini ditayangkan. Malah, mereka berdua juga suka
menyanyikan lagu tema drama tersebut, Muara Hati.
Tetapi, anda sebagai ibubapa di
luar sana, jangan terkejut jika ada di antara anak-anak anda yang ingin menjadi
pelumba motosikal apabila mereka dewasa nanti. Dapatkah anda bayangkan jika
anda anda berkata sebegini.
“Ayah, adik nak motosikal. Nak
lumba motor, nak jadi macam Zulfahmi.” (Zulfahmi merujuk pada pelumba motosikal
negara, Zulfahmi Khairuddin yang mencipta sejarah muncul pelumba pertama negara
meraih kedudukan podium dalam saingan Moto3.
Zulfahmi hebat...dari poketbike ke Moto3... |
Ya, Zulfahmi berjaya mencipta
kedudukan kedua dan ketiga masing-masing pada saingan MotoGP Malaysia Oktober
lalu dan di Valencia, 11 November lalu. Saya percaya kejayaan pemuda dari
Banting ini berjaya membuktikan bahawa sukan bermotor juga boleh menyumbang
kepada kejayaan karier di samping melonjakkan nama negara di pentas dunia.
Buktinya, Zulfahmi sudah melakukannya.
Kejayaan Zulfahmi ini boleh
memberi mesej kepada pada Mat-mat Rempit di luar sana, bahawa mereka juga boleh
bergelar pelumba profesional MotoGP sekiranya berlumba di platform yang betul
dan bukannya menunjukkan kehebatan anda hanya di jalan raya secara haram dan
menjejaskan keselamatan diri sendiri dan orang lain.
Jika anda benar-benar terer,
manfaatkan litar sebenar yang disediakan Kerajaan dan berlumbalah sepuas hati
anda.
Disebabkan Zulfahmi jugalah,
Maisarah suka sangat dengan motosikal. Setiap kali ternampak motosikal sewaktu
kami bersama-sama di dalam kereta, dia akan sebut, ‘moto-moto’ berulang kali.
Tidak kira motosikal berkuasa besar atau kecil, nampak aje motosikal, Maisarah
akan cakap, “Adik nak moto. Nak warna hijau,” ketawa saya melihat gelagat
Maisarah.
Memang saya sudah belikan
Maisarah sebuah skuter elektrik. Dia akan membawa beg sekolah dan patung
arnabnya di atas skuter itu. Jika anak buah saya, Amir Irfan ada, mereka berdua
akan ‘ronda-ronda’ dari ruang tamu hingga ke dapur bersama skuter tersebut. Itu
belum lagi, Humairah naik sekali dengan mereka. Seolah, saya tengah menonton
persembahan Tatu Polis pulak apabila tiga orang naik atas skuter sambil tangan
dilepaskan.
Maisarah bersama skuternya. Amacam ada gaya tak? |
20 tahun akan datang, saya akan
berusia 50 tahun. Humairah dan Maisarah pula
akan berusia 24 dan 22 tahun. Pada waktu itu, saya tidak pasti, apakah pekerjaan
yang akan ada di muka bumi ini dan kita sendiri tidak tahu apakah pekerjaan
yang sesuai untuk anak-anak kita.
Seingat saya, mak dan ayah tidak
pernah memaksa saya untuk menjadi sesiapa kerana mereka memberi saya kebebasan
dan sokongan yang tidak ternilai dalam setiap perkara yang saya lakukan dari
kecil sehinggalah sekarang.
Justeru, saya dan isteri juga akan berusaha sebaik
mungkin untuk memberi sokongan yang sama nilainya kepada anak-anak kami agar
mereka dapat menikmati proses kehidupan yang wajar mereka lalui. Mereka berhak merasai pengalaman hidup mereka sendiri. Kita sebagai ibubapa perlu berdoa dan memantau perkembangan mereka dan bukannya dengan menentukan kehidupan mereka. Memang setiap
antara kita mahukan yang terbaik buat anak-anak, tetapi apakah definisi terbaik
itu terletak pada siapa mereka bila memasuki alam pekerjaan nanti?
Apa yang paling utama, dalam
setiap apa dilakukan, mesti bersungguh-sungguh dan ikhlas!!!